IPOH: Usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah narkotik membuahkan hasil apabila satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Taman Rishah, di sini, pada 3 September lalu.
Ketua Polis Perak, CP Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek lelaki berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira pukul 4 petang.
“Hasil pemeriksaan lanjut di sebuah rumah kosong berhadapan kediaman suspek, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ketamine, heroin dan ganja dengan nilai keseluruhan RM125,015,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, turut disita sebuah kereta jenis Honda Accord bernilai RM40,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM165,115.
Noor Hisam berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Jun 2024 dengan pasaran edaran tertumpu di sekitar negeri Perak.
Katanya lagi, rampasan itu dianggarkan mampu digunakan oleh lebih 2,000 penagih.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah namun semakan lanjut mendedahkan dia mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan sama,” katanya.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 10 September bagi membantu siasatan lanjut,” tambahnya.
Kejayaan ini menurut Noor Hisam, adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dan pihak penguat kuasa.
Polis Perak turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah ini secara berterusan.








