IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan doa penuh sebak agar umat Islam di negara ini terus bersatu dan dijauhi daripada perpecahan ketika bertitah pada Majlis Maulidur Rasul Peringkat Perak malam tadi.
Dalam titah penutupnya, baginda memohon Allah SWT menunjukkan jalan yang lurus, mengurniakan taufik serta hidayah, selain menyinari jiwa umat dengan iman dan takwa.
“Jadikanlah kami umat yang bersatu, saling menyayangi, menghormati dan bekerjasama dalam kebaikan.
“Jauhkanlah kami daripada perpecahan, permusuhan dan kebencian. Tautkan hati-hati kami dengan iman dan kasih sayang kerana-Mu, Ya Allah,” titah baginda.
Majlis itu turut dihadiri Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Antara penerima anugerah pada majlis berkenaan ialah Umi Kalsom Bahak, 74, dari Bidor yang dinobatkan Tokoh Keluarga Mithali dan membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej umrah RM9,000 serta plak.
Sultan Nazrin turut mengurniakan beberapa anugerah lain termasuk Tokoh Pendakwah kepada Wan Masindra Juja; Anugerah NGO kepada Perak ABIM; Tokoh Imam kepada Rosli Mat; Tokoh Bilal kepada Sirat Abdullah; Tokoh Siak kepada Mat Yusoff Suliman; serta Anugerah Khas kepada Ismail Muhamad Zin.
Baginda kemudian berkenan bersantap bersama penerima anugerah sebelum berangkat pulang kira-kira jam 11.30 malam.
Baca juga: