Shin Peng sumbang emas sulung Malaysia di Kejohanan Dunia Wushu

ATLET wushu negara, Si Shin Peng mencipta kejutan apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Kejohanan Dunia Wushu di Brasilia, Brazil, semalam.

Dalam penampilan sulungnya di kejohanan berprestij itu, atlet berusia 23 tahun tersebut memukau juri dengan catatan 9.756 mata untuk mengungguli acara final.

Peserta Macau, Kuong Chi Hin, meraih pingat perak dengan 9.743 mata manakala wakil Jepun, Araki Motoyoshi, sekadar berpuas hati dengan gangsa (9.740 mata).

Kejayaan itu juga menjadi emas pertama Malaysia dalam sejarah penganjuran kejohanan dunia dwitahunan yang buat julung kali berlangsung di benua Amerika Selatan.

Sementara itu, ratu wushu negara, Tan Cheong Min, yang meraih perak dalam acara nandao sehari sebelum itu, menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam kategori nanquan dengan pungutan 9.623 mata.

Turut hampir menambah koleksi pingat buat Malaysia ialah Sydney Chin, namun dia terlepas peluang selepas sekadar berada di tempat keempat dalam acara taijiquan (9.733 mata).

Setakat ini, Malaysia mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa selepas dua hari kejohanan. Pingat gangsa disumbangkan oleh Lee Jia Rong menerusi acara gunshu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat