Lebih 34,000 PATI ditahan JIM hingga Ogos – Menteri

BALING: Jabatan Imigresen Malaysia melaksanakan 9,500 operasi sehingga 30 Ogos lalu, dengan 35,225 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di bawah Akta Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tempoh sama, seramai 152,000 orang diperiksa manakala 1,395 majikan turut diambil tindakan.

“Daripada jumlah itu, seramai 36,557 warga asing dihantar pulang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Baling, Kedah, pada Jumaat.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen bukan sekadar mengurus kemasukan warga asing secara sah, malah memainkan peranan besar dalam aspek penguatkuasaan.

“Negara kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang mematuhi undang-undang. Namun, bagi yang melanggar undang-undang , khususnya PATI maka tindakan tegas akan diambil.

“Isu PATI bukan hanya soal imigresen, tetapi melibatkan kedaulatan negara, keselamatan sempadan dan kestabilan sosioekonomi,” katanya.

Beliau menegaskan, penguatkuasaan akan terus dipertingkat secara berterusan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Anda Mungkin Berminat