Warden asrama jaga murid tapi siapa jaga kebajikan warden?

Oleh: Dr Anuar Ahmad

ULASAN | Pernahkan kita semua empati pada seorang guru yang juga seorang warden asrama?

Merekalah warden. Merekalah guru. Mereka juga menjaga pelbagai aktiviti sekolah. Mereka juga adalah suami atau isteri, ada tanggungjawab pada keluarga masing-masing. Mereka juga adalah ayah dan ibu pada anak-anak sendiri.

Jangan lupa, mereka juga adalah anak kepada ibu bapa masing-masing. Waktu cuti hujung minggu dan cuti sekolah sepatutnya mereka ziarah ibu bapa.

Tapi mereka terpaksa korbankan banyak waktu bersama keluarga kerana menjadi warden. Siang mereka menjadi guru, malam hari mereka menjadi warden asrama yang belum tentu mereka dapat lena tidur.

Bila ada murid asrama sakit, bergegas warden hantar ke klinik, bila ada murid histeria atau ada murid kecurian barang, warden terpaksa uruskan.

Bila ada murid asrama ‘fly’ malam-malam dan jika ditakdirkan berlaku kemalangan, warden jugalah yang disalahkan.

Tidak mudah menjadi warden asrama. Mana saya tahu? Hampir 20 tahun saya menjadi pengetua kolej kediaman (asrama pelajar) di universiti. Saya dan keluarga tinggal di dalam kampus. Jadi saya pernah rasa sendiri menjadi warden asrama. Berbagai kejadian telah saya lalui sebagai warden asrama.

Menjadi warden asrama memang ada tekanan yang tinggi. Sebab warden menjaga keselamatan nyawa murid. Soalnya, siapa pula yang jaga kebajikan warden? Berapa sangat elaun mereka sebagai warden? Berbaloikah?

Sepatutnya ibu bapa yang hantar anak-anak ke asrama mesti prihatin dan menjadi barisan hadapan untuk membela kebajikan warden sebagai menghargai pengorbanan mereka.

Mesti ada satu jawatankuasa atau persatuan ibubapa untuk murid asrama. Kalau belum ada, segera wujudkan ‘Persatuan ibu bapa Murid Asrama’.

Bayangkan, anda sebagai ibu bapa boleh tidur lena di rumah masing-masing, warden di asrama belum tentu boleh tidur lena kerana sedang bertugas menjaga keselamatan dan kebajikan anak-anak anda.

***Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM dan giat menulis mengenai isu pendidikan nasional di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat