KOTA KINABALU: Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, membuat laporan polis selepas menerima ancaman daripada warganet berhubung keterangannya dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Kasim Muda, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan laporan dibuat petang semalam.
“Dalam laporan tersebut, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengenai ancaman berkenaan,” katanya, memetik Berita Harian.
Dr Jessie, 58, telah berkhidmat di HQE sejak 1998 dan memiliki ijazah perubatan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) serta ijazah sarjana patologi dari Universiti Malaya. Beliau juga aktif dalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Perubatan dan Sains Forensik Malaysia, serta Persatuan Undang-undang, Perubatan dan Sains Indo-Pasifik.
Sebagai pakar forensik, beliau menjalankan serta menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun, selain kerap memberi keterangan sebagai saksi pakar di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
Pada prosiding inkues 4 September lalu, Dr Jessie menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk menentukan sama ada Zara terjun dari asrama atas kehendak sendiri atau sebaliknya. Dalam keterangannya, beliau menolak kemungkinan remaja itu ditolak atau diserang sebelum jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kemungkinan besar mangsa melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi koridor sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama berkenaan.
Baca juga:








