PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Rawi Hussin yang menghidap penyakit saraf dengan menghulurkan sumbangan tunai dan bakul makanan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Mohd Rawi di kediamannya di Taman Balok Pantai, Kuantan, Pahang.
Ahmad Farhan berkata, pemberian itu adalah tanda kasih dan penghargaan walaupun jasa serta pengorbanan veteran ATM jauh lebih besar berbanding apa sahaja yang mampu dibalas.
“Saat kami tiba di kediamannya, Pakcik Mohd Rawi tidak dapat menahan sebak. Air matanya terus mengalir sebaik kami menyapa. Walaupun menghidap penyakit saraf, beliau kekal sabar dan tabah menghadapi kehidupan sehari-hari,” katanya.
Beliau menegaskan, Hari Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi ruang untuk mengenang jasa pejuang bangsa.
“Pakcik Rawi adalah antara wira yang pernah berkorban demi tanah air, membolehkan kita hidup dalam suasana aman dan merdeka hari ini,” katanya lagi.
Ahmad Farhan turut mendoakan agar Mohd Rawi dikurniakan kesihatan, kekuatan dan ketenangan, selain menyifatkan pengorbanannya sebagai amal jariah yang berkekalan.
Baca juga:








