PETALING JAYA: Sekolah Wanita (SWAN) melakar sejarah baharu apabila buat julung kalinya menganjurkan Seminar Wanita MADANI, satu inisiatif penting yang menyaksikan penyertaan menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara.
Bertemakan ‘Pemacu Negara: Kepimpinan, Dasar dan Masa Depan Negara’, seminar ini menjadi medan strategik untuk memperkasa peranan wanita dalam membina Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha pemberdayaan wanita tidak seharusnya dilihat sebagai agenda politik semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang merentasi sempadan kepartian.
“Kesaksamaan gender dan bias terhadap wanita mesti ditangani secara kolektif.
“Perjuangan ini tidak boleh bersifat partisan kerana ia membabitkan masa depan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru agar SWAN terus berperanan sebagai penghubung komuniti wanita melalui jaringan yang lebih kukuh serta membudayakan sokongan antara satu sama lain.
Menurutnya, program latihan berkualiti dalam bidang kepimpinan, komunikasi dan pengantarabangsaan perlu dilaksanakan secara inklusif, melibatkan pelbagai latar belakang masyarakat.
“Wanita terpimpin, generasi terbilang,” tambah beliau, sambil menekankan kepentingan melahirkan pemimpin wanita berkaliber yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.