PETALING JAYA: Golongan karyawan kreatif dan pekerja bebas di Malaysia bakal menikmati perlindungan lebih menyeluruh menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu.
Menurut kenyataan media Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Isnin, RUU ini merupakan undang-undang pertama di negara ini yang secara rasmi mengiktiraf pekerja gig termasuk mereka dalam sektor kreatif seperti pelakon, kru produksi, penulis skrip, jurukamera, jurusolek, animator, penyunting video dan wartawan bebas.
FINAS berkata, antara manfaat utama yang diperkenalkan melalui RUU tersebut ialah perlindungan hak pekerja gig, penetapan kewajipan entiti kontrak, pengawalan terma dan syarat perjanjian perkhidmatan serta mekanisme penyelesaian pertikaian.
Selain itu, katanya, kerajaan turut menubuhkan Majlis Perundingan dan Tribunal Pekerja Gig sebagai platform advokasi dan penyelesaian isu industri.
“RUU ini juga menjamin akses kepada perlindungan keselamatan, kesihatan dan keselamatan sosial bagi pekerja gig, yang sebelum ini sering terpinggir daripada jaringan sokongan formal.
“Melalui pelaksanaan ini, pekerja kreatif dan bebas tidak lagi terpinggir daripada jaringan perlindungan sosial, sebaliknya dijamin dalam ekosistem kerja yang lebih adil, profesional dan mampan,” katanya.
Taklimat khas mengenai pelaksanaan RUU tersebut telah dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui FINAS dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).
Acara berlangsung di Studio Sound Stage FINAS, Hulu Kelang.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, manakala Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong turut menyampaikan penerangan berhubung pelaksanaan dasar tersebut.
Turut hadir ialah Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; serta presiden-presiden persatuan perfileman dan penggiat industri kreatif tempatan.