KPKT Galak Kerjasama Awam-Swasta Jaya Agenda Taman Lestari Negara

PETALING JAYA: Kerajaan Madani menyambut baik usaha mempergiat kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menjayakan agenda pembangunan lestari negara khususnya dalam penyelenggaraan taman-taman awam menerusi pendekatan ‘whole of nation’.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, dalam sesi soal lisan di Dewan Negara pada Isnin, memaklumkan bahawa kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM281.9 juta kepada 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi tempoh 2024 hingga 2025.

Dana ini melibatkan pelaksanaan 1,730 projek naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan awam seperti tandas awam, dewan serbaguna dan pelbagai kemudahan rekreasi.

“Seluruh 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab untuk memastikan fasiliti di taman-taman awam diselenggarakan dengan baik,” kata beliau.

Mengulas isu vandalisme yang sering menjejaskan kemudahan awam, Kor Ming menjelaskan bahawa PBT boleh mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Taman terhadap individu yang merosakkan, mencacatkan atau mengotorkan kemudahan seperti tempat duduk dan peralatan permainan kanak-kanak.

“Tindakan yang boleh diambil termasuk pengusiran, penangkapan atau mengenakan kompaun tidak melebihi RM1,000,” ujarnya.

Beliau turut menekankan peranan penting sektor swasta dalam menyokong usaha kerajaan, menyeru agar syarikat-syarikat korporat menjadikan penyelenggaraan taman awam sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“KPKT telah menetapkan sasaran membina 1,000 taman dalam tempoh 10 tahun, iaitu 100 taman setahun.

“Pada tahun 2024, Kerajaan Madani berjaya melepasi sasaran tersebut dengan membina 109 taman dan saya yakin sasaran tahun ini juga akan berjaya dilepas dengan pembinaan 107 lagi Taman Madani,” katanya.

Kor Ming turut menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta mampu menjayakan agenda pembangunan taman lestari, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terindah di dunia.

“Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Melalui kerjasama strategik dengan pihak swasta, kita bersama-sama dapat menjayakan agenda pembangunan taman lestari agar Malaysia menjadi antara negara terindah di dunia,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat