PUTRAJAYA: Wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini secara rasmi menjadi milik kerajaan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, keputusan itu dibuat selepas Ismail Sabri tidak mencabar permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang berkenaan.
“Responden (Ismail Sabri) tidak membantah permohonan SPRM untuk pelucuthakan wang kira-kira RM170 juta ini.
“Secara rasmi, wang berkenaan kini menjadi hak kerajaan. Proses memasukkan wang tersebut ke akaun kerajaan dimulakan hari ini,” katanya.
Setakat ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) masih belum membuat keputusan sama ada akan mendakwa mana-mana pihak yang berkaitan dengan aset tersebut.
Pada prosiding semalam, Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, tidak berhasrat mencabar permohonan pelucuthakan wang tunai berjumlah lebih RM169 juta yang disita SPRM.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat berkata, kedua-dua responden telah menyatakan pendirian mereka melalui surat bertarikh 28 Ogos yang dihantar oleh peguam kepada mahkamah.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mungkin mempunyai kepentingan terhadap wang tersebut.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Oktober ini.
Untuk rekod, pada 7 Julai lalu, SPRM memohon pelucuthakan wang tunai lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang asing yang disimpan oleh Mohammad Anuar dan didakwa milik Ismail Sabri.
Turut disita ialah 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta.