ASEAN Bersatu Menentang Jenayah Rentas Sempadan – Saifuddin

MELAKA: Di kota bersejarah yang pernah menjadi nadi perdagangan dunia, Melaka sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada ’19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC)’.

Ia satu persidangan penting yang menyatukan negara-negara ASEAN dalam usaha memperkukuh keselamatan serantau.

Majlis pembukaan rasmi telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan komitmen tertinggi Malaysia terhadap usaha membanteras jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan mencabar.

Sebagai tuan rumah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tanggungjawab ini bukan sekadar tugas rasmi, tetapi amanah besar.

“Saya melihat peranan ini bukan sekadar tugas rasmi tetapi amanah besar untuk memastikan hasil perbincangan benar-benar membawa makna kepada lebih 680 juta rakyat di rantau ini,” katanya.

Persidangan kali ini dianggap kritikal kerana bentuk jenayah moden semakin sukar dibendung.

Beliau berkata, jenayah pelbagai yang berleluasa telah berlaku sehingga menuntut kerjasama yang lebih erat antara negara-negara ASEAN.

“Kerana jenayah hari ini tidak lagi mengenal sempadan.

“Penyeludupan manusia, pemerdagangan orang, pengubahan wang haram, penipuan digital, serangan siber, semuanya berlaku lebih pantas, lebih licik, dan lebih canggih,” katanya.

Namun, di sebalik cabaran itu, Saifuddin berkata, kekuatan ASEAN terletak pada semangat setiakawan yang telah lama teruji.

“Kekuatan ASEAN bukan hanya pada populasinya, bukan hanya pada ekonominya tetapi pada semangat setiakawan yang teruji.

“Bila kita berdiri bersama sebagai satu komuniti, kita jauh lebih kuat daripada jumlah bahagiannya,” katanya.

Tambah beliau, dengan latar kota Melaka yang sarat dengan warisan dan simbol perpaduan, Malaysia menghantar mesej yang jelas kepada dunia.

“Dari bumi bersejarah Melaka ini, kita hantar mesej yang jelas bahawa ASEAN berdiri teguh, memilih keberanian dan perpaduan demi masa depan rakyatnya,” ujarnya lagi.

Persidangan AMMTC kali ini bukan sekadar pertemuan diplomatik tetapi satu langkah berani ke arah masa depan yang lebih selamat dan bersatu untuk seluruh rantau Asia Tenggara.

Anda Mungkin Berminat