Analisis | Audit Dalaman: Dari 1MDB Ke MADANI, Reformasi Audit Bukan Lagi Pilihan Tetapi…

Oleh: Mohd Najib Hashim

ANALISIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan di Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 bahawa audit dalaman adalah “benteng integriti” negara.

Kenyataan ini datang dengan latar sejarah pahit: skandal 1MDB yang meruntuhkan imej Malaysia dan krisis kewangan Asia yang mendedahkan kelemahan pengawasan institusi.

Mengapa audit dalaman jadi tumpuan? Audit dalaman sering dianggap kerja teknikal, namun hakikatnya ia garis pertahanan awal daripada salah guna kuasa.

Apabila fungsi ini dilemahkan, kerugian bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi juga keyakinan rakyat dan pelabur.

Sejarawan Islam terkemuka, Ibnu Khaldun, pernah menegaskan bahawa kejatuhan sesebuah negara bermula apabila pemimpin gagal mengurus amanah dan membiarkan penyelewengan berleluasa.

Bagi beliau, kekayaan negara bukanlah hasil cukai yang tinggi atau eksploitasi tetapi terletak pada pentadbiran yang adil, telus dan menjaga kepercayaan rakyat.

Manakala Khalifah Umar Abdul Aziz, sering digelar sebagai “Khalifah Rasyid yang kelima”, memimpin dengan prinsip integriti mutlak.

Beliau mengurangkan kemewahan istana, menolak rasuah, malah memastikan harta negara diagih dengan adil.

Hasilnya, tatakelola yang bersih bukan sahaja memulihkan keyakinan rakyat tetapi membawa kemakmuran menyeluruh.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, mesej kedua-dua tokoh ini jelas: tanpa integriti dan pengawasan yang bebas, negara akan hilang keabsahan moral, sekali gus membuka ruang kepada keruntuhan sistem.

Antara janji dan realiti

Kerajaan MADANI kini telah memulakan langkah dengan pindaan Akta Audit selepas 33 tahun serta penubuhan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius.

Namun persoalan utamanya: adakah juruaudit dalaman benar-benar diberi kuasa bebas, walaupun dapatan mereka menyentuh kepentingan elit politik atau pihak berkuasa?

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Asian Confederation of Institutes of Internal Auditors (ACIIA) Conference di KLCC Kuala Lumpur. 9 September 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the videos may require furth

Seperti kata Anwar, tatakelola yang baik bukan beban tetapi pelaburan jangka panjang.

Bagi pelabur asing, ia tanda kestabilan; bagi rakyat, ia ukuran sama ada cukai dan hasil negara diurus dengan amanah.

Kesimpulannya, ucapan Anwar di ACIIA 2025 mengangkat semula wacana tatakelola ke tengah pentas.

Tetapi seperti pesan Ibnu Khaldun, institusi hanya teguh apabila berlandaskan keadilan.

Dan seperti Umar Abdul Aziz, integriti pemimpin mesti menjadi teladan utama.

Audit dalaman boleh menjadi “benteng integriti” Malaysia tetapi hanya jika kerajaan benar-benar berani meletakkan keadilan mengatasi kepentingan sempit politik.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, mesej ini seiring dengan prinsip ihsan dan amanah: bahawa kuasa bukanlah milik mutlak pemerintah, sebaliknya satu titipan yang mesti diurus dengan penuh tanggungjawab.

Jika Ibnu Khaldun melihat keadilan sebagai asas umur panjang sesebuah negara dan Umar Abdul Aziz membuktikan kepemimpinan berintegriti mampu membawa kesejahteraan rakyat.

Maka inilah pengajaran paling relevan buat Malaysia hari ini reformasi tatakelola bukan pilihan tetapi syarat untuk kelangsungan negara.

*** Penulis adalah bekas pensyarah Bahasa dan Tamadun yang juga bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Anda Mungkin Berminat