Pelabuhan Bintulu Ketat Kawalan Keselamatan, Status Naik Ke Tahap 2

BINTULU: Jabatan Laut Malaysia hari ini mengumumkan peningkatan kawalan keselamatan di Pelabuhan Bintulu, Sarawak, susulan statusnya sebagai hab utama pengendalian kargo berisiko tinggi seperti gas asli cecair (LNG).

Dalam satu kenyataan, Jabatan Laut memaklumkan bahawa Pelabuhan Bintulu kini ditetapkan pada Tahap Keselamatan 2 berbanding Pelabuhan Klang yang kekal pada Tahap Keselamatan 1.

Menurutnya, langkah ini diambil selaras dengan Kod Keselamatan Kapal dan Kemudahan Pelabuhan Antarabangsa (ISPS Code) serta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Peraturan-Peraturan Perkapalan Saudagar (Keselamatan Kapal dan Kemudahan Pelabuhan) 2004.

“Pelabuhan Bintulu, Sarawak telah ditetapkan sebagai kemudahan pelabuhan dengan Tahap Keselamatan 2 (Security Measures Level 2) memandangkan pelabuhan tersebut mengendalikan kargo berisiko tinggi iaitu Liquefied Natural Gas (LNG),” kata kenyataan itu.

Jabatan Laut turut menekankan keperluan kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keselamatan operasi pelabuhan sentiasa terjamin.

“Semua pihak berkepentingan adalah diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan sekuriti operasi pelabuhan sentiasa terpelihara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat