Malaysia Kecam Serangan Udara Israel Di Doha – PM

PETALING JAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas ibu negara Qatar, Doha, yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan negara berdaulat dan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai biadab dan berbahaya, bukan sahaja kerana mengancam nyawa orang awam tetapi juga kerana menjejaskan kestabilan rantau Timur Tengah yang sedia rapuh.

“Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan dialog di Timur Tengah, Israel telah menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati usaha damai serta diplomasi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Anwar berkata, serangan tersebut tidak boleh dipertahankan dalam apa jua keadaan dan harus ditolak sepenuhnya oleh masyarakat antarabangsa.

“Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti penuh bersama Qatar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Negeri Qatar lewat malam tadi mengesahkan bahawa letupan di kawasan Legtaifiya merupakan serangan udara Israel yang menyasarkan pejabat pemimpin Hamas.

Pejabat kedutaan Qatar turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mengambil langkah kawalan dan memberi jaminan bahawa keadaan berada dalam kawalan sepenuhnya meskipun serangan berlaku.

Menurut kenyataan itu lagi, ruang udara Qatar kekal dibuka dan tidak akan ditutup kepada penerbangan komersial.

Anda Mungkin Berminat