KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada dua pemimpin kuasa besar dunia bulan depan apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Premier China, Li Qiang disahkan akan menghadiri acara rasmi di Kuala Lumpur.
Kehadiran mereka adalah sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan negara di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan kedua-dua pemimpin itu mencerminkan keyakinan global terhadap kestabilan politik dan keupayaan diplomatik Malaysia.
“Bulan depan kita akan menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Premier China, Li Qiang.
“Manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin masih mempertimbangkan kehadiran beliau,” katanya.
Anwar menyifatkan kunjungan tersebut sebagai peluang strategik untuk Malaysia memperkukuh pendirian dalam pelbagai isu serantau dan global termasuk perdagangan, keselamatan dan perubahan iklim.
“Kehadiran mereka adalah bukti bahawa Malaysia diyakini masyarakat antarabangsa, baik daripada segi kestabilan politik mahupun kemampuan diplomasi,” katanya.
Sebagai negara kecil yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Anwar menekankan keperluan Malaysia untuk terus bijak menongkah arus perubahan global yang semakin kompleks.
“Malaysia mesti terus bijak berdepan cabaran dunia, tidak terburu-buru dan sentiasa menjadikan kepentingan nasional sebagai suluhan ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Jubli Emas Kumpulan AmBank di ibu negara, malam Selasa.