PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat ke-12 Kumpulan Kerja Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (WGSITS12) yang berlangsung pada 8 hingga 9 September di Negeri Sembilan.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menghimpunkan delegasi dari negara anggota ASEAN serta Sekretariat ASEAN (ASEANstats) bagi membincangkan kaedah statistik terkini, berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang perdagangan perkhidmatan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, WGSITS12 merupakan platform penting untuk meningkatkan kualiti statistik, kebolehbandingan dan ketepatan masa data sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Beliau berkata, statistik perdagangan perkhidmatan perlu disesuaikan dengan perkembangan digital, model perniagaan baharu dan aliran pelaburan semasa.
“Statistik perdagangan perkhidmatan mesti disesuaikan dengan perkembangan digital, model perniagaan baharu dan aliran pelaburan semasa.
“Data yang berkualiti akan menyokong dasar ASEAN, integrasi ekonomi dan pembangunan mampan,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada penyediaan pelan kerja baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang selaras dengan matlamat ekonomi ASEAN.
Para delegasi menilai pencapaian terdahulu, termasuk prestasi perdagangan perkhidmatan ASEAN yang mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus kepada RM5.48 trilion pada tahun 2024.
Perdagangan intra-ASEAN juga menunjukkan pertumbuhan kukuh, dengan eksport meningkat 13.1 peratus kepada RM387.55 bilion, manakala import naik 13.3 peratus kepada RM361.85 bilion.
Perkhidmatan pelancongan, pengangkutan, digital dan perniagaan dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan tersebut.
Dalam sesi pembentangan, DOSM turut menggariskan pelan kerja kebangsaan untuk memperkukuh kualiti data, mempercepatkan ketepatan masa dan memperluas liputan statistik selaras dengan piawaian global.
Malaysia juga berkongsi inisiatif OpenDOSM NextGen, sebuah platform analisis data terbuka yang boleh diakses oleh orang ramai sebagai usaha meningkatkan keterbukaan dan ketelusan data.
Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 pada tahun 2022/23.








