Parlimen komited kekang isu buli, anjur Townhall dengar suara rakyat

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Parlimen Malaysia telah menganjurkan sesi Townhall bertajuk “Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita” di bangunan Parlimen Malaysia, pada Rabu.

Menerusi satu kenyataan media, majlis yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memperlihatkan komitmen tinggi pihak Parlimen dalam menangani isu buli yang kian membimbangkan.

“Townhall ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, wakil EXCO Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kehadiran semua pihak membuktikan kesepakatan bahawa isu buli bukanlah masalah terpencil atau individu semata-mata, tetapi ia isu nasional yang menuntut tindakan menyeluruh dan bersepadu,” katanya.

Kata kenyataan itu, situasi kes buli di Malaysia semakin membimbangkan apabila laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2020 mendedahkan negara berada di di kedudukan kedua tertinggi di Asia selepas India, dan keenam di dunia dalam insiden buli siber.

“Statistik menunjukkan 3 daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menjadi mangsa buli.

“Situasi ini semakin membimbangkan berikutan peningkatan kes buli saban tahun, merangkumi pelbagai bentuk termasuk buli fizikal, lisan dan siber” ujarnya.

Justeru katanya, kesan buli bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, tetapi juga tekanan mental, hilang keyakinan diri dan kesejahteraan sosial mangsa.

Malah, ada kes yang membawa kepada kemurungan dan cubaan membunuh diri, sekali gus menjadikan isu ini sebagai ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Johari turut memaklumkan bahawa, Townhall tersebut berperanan sebagai platform untuk mendengar suara rakyat secara langsung, termasuk perkongsian pengalaman mangsa buli, pandangan ibu bapa, pendidik, serta cadangan daripada pakar dan pertubuhan masyarakat sivil.

Dalam pada itu, Jawatankuasa itu menegaskan bahawa usaha membanteras gejala buli memerlukan kerjasama utuh antara semua pihak Parlimen, kerajaan negeri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO, PIBG dan seluruh masyarakat.

“Sinergi ini penting bagi membentuk persekitaran yang lebih selamat dan menyokong pertumbuhan anak-anak ke arah menjadi generasi berakhlak, berdaya tahan dan seimbang,” tambanhnya.

Pada perkembangan yang sama, Johari turut menyatakan laporan rasmi mengenai isu buli yang merupakan hasil daripada sesi Townhall “Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita” akan dibentangkan di Parlimen sebelum ia dibahaskan kelak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat