IPOH: Seorang bekas Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Taiping dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas 16 pertuduhan pecah amanah melibatkan lebihan bayaran imbuhan imam berjumlah RM30,250.
Menurut laporan media tempatan, tertuduh, Muhamad Azian Mat Isa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
“Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh yang juga Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping diamanahkan mengurus wang tersebut antara Mac 2019 hingga Jun 2023 di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping.” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suzieyana Azura Yahaya bersama Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor mencadangkan jaminan RM64,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan menyerahkan pasport serta melapor diri di Pejabat SPRM Taiping setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam bela Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,000 sebulan serta menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Hakim kemudian menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Baca juga: