KUCHING: Sebuah bot tunda bersama tujuh kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak dalam rondaan rutin di sekitar perairan Kuching semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot itu ditahan pada jam 12.30 tengah hari di kedudukan 7.26 batu nautika Utara Kuala Sadong.
“Tangkapan dibuat oleh pasukan rondaan yang sedang melaksanakan OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan tujuh kru termasuk seorang nakhoda warga tempatan berusia antara 20 hingga 59 tahun.
Siasatan awal mengesan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 termasuk lesen tamat tempoh, kegagalan mempamerkan dokumen perkapalan serta tidak mengekalkan tanda nama kapal.
“Bot bersama kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Sarawak untuk siasatan lanjut,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan laut bagi mengelak insiden tidak diingini.
Maritim Malaysia sebelum ini kerap menjalankan operasi bersepadu di perairan Sarawak bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang termasuk perkapalan tanpa lesen sah, penyeludupan serta pencerobohan nelayan asing.
Baca juga: