KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan injunksi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menghalang aplikasi pesanan Telegram daripada terus menyebarkan kandungan yang berpotensi mengancam ketenteraman awam dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahazan Mat Taib selepas mendapati SKMM berjaya membuktikan bahawa Telegram terlibat dalam penyebaran kandungan bersifat menghina termasuk serangan terhadap agensi kerajaan, badan penguat kuasa dan anggota pentadbiran.
“Telegram terlibat dalam penyebaran kandungan bersifat menghina termasuk menyerang agensi kerajaan, badan penguat kuasa dan anggota pentadbiran,” kata Mahazan.
Namun begitu, mahkamah menolak permohonan SKMM untuk menutup atau menyekat akaun Telegram yang dipercayai menyebarkan kandungan tersebut dengan alasan bahawa mahkamah tidak boleh memaksa pihak platform melakukan tapisan secara langsung.
Perintah injunksi ini akan kekal berkuat kuasa sehingga saman penuh yang difailkan oleh SKMM terhadap Telegram Messaging Inc diselesaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah menetapkan 24 September ini untuk mendengar permohonan SKMM bagi memulakan prosiding komital terhadap Telegram, susulan dakwaan kegagalan platform tersebut mematuhi salah satu terma injunksi ex-parte yang dikeluarkan pada 17 Julai lalu.
Terdahulu, pada 19 Jun, SKMM telah memfailkan saman terhadap Telegram serta dua saluran iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas, yang didakwa menyebarkan kandungan berunsur memudaratkan dan mencetuskan perdebatan awam.








