KUCHING: Selepas menyempurnakan lawatan kerja di Limbang, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan rencana dua hari di Bumi Kenyalang dengan menghadiri pertemuan strategik bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak petang Khamis.
Pertemuan tersebut menjadi medan penting untuk memperkukuh struktur organisasi parti di setiap peringkat, selain menyelaras usaha memperhebat jentera PKR di negeri ini menjelang cabaran politik masa depan.
Dalam sesi tersebut, Anwar turut memperincikan dasar dan polisi Kerajaan MADANI agar ia dapat difahami, dihayati dan dirasai oleh rakyat Sarawak melalui pimpinan negeri.
“KEADILAN (PKR) bukan sekadar sebuah parti politik, ia merupakan wadah perjuangan rakyat yang sentiasa mendengar denyut nadi masyarakat, membela kepentingan mereka ke meja dasar demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata, keberadaan PKR di Sarawak perlu terus dimantapkan agar parti ini benar-benar menjadi suara rakyat keseluruhan serta mampu mengangkat agenda perubahan yang inklusif.








