PENAMPANG: Dalam respons pantas terhadap insiden tanah runtuh di Jalan Penampang–Tambunan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turun padang sejurus tiba dari Kuching pagi tadi, menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan rakyat dan kelancaran laluan utama negeri.
Beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan untuk mempercepatkan kerja pembersihan dengan penambahan jentera serta operasi 24 jam.
“Ketika ini, laluan hanya dibuka dengan satu lorong.
“Saya mahu kerja-kerja pembersihan disiapkan dalam tempoh dua hari agar kedua-dua lorong dapat digunakan sepenuhnya demi keselamatan dan kelancaran rakyat,” katanya.
Dalam tinjauan tersebut, Hajiji turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan khairat kematian serta sokongan membina semula kediaman yang terjejas.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, Datuk Jannie Lasimbang dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.
“Kerja pemulihan mesti disiapkan segera kerana jalan ini bukan sahaja nadi rakyat setempat, malah turut menjadi laluan penting penghubung daerah,” jelasnya.
Insiden ini sekali lagi membuka mata terhadap cabaran infrastruktur Sabah yang terdedah kepada bencana alam, khususnya di laluan berbukit seperti Penampang–Tambunan.
Setiap kali hujan lebat, risiko runtuhan meningkat sehingga menuntut tindakan pantas dan berkesan daripada pihak berkuasa.
Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk memastikan jalan raya utama sentiasa selamat dan berfungsi bukan sahaja untuk masyarakat setempat tetapi juga pelancong yang menjadikan laluan ini sebagai pintu masuk ke keindahan pedalaman Sabah.