Perebutan Jawatan PM, Dedah PN Tidak Utama Rakyat – Mahfuz Omar

PETALING JAYA: Ketegangan dalaman Perikatan Nasional (PN) berhubung pencalonan Perdana Menteri ke-11 semakin teserlah apabila Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mendakwa bahawa gabungan itu lebih mementingkan kuasa berbanding kebajikan rakyat.

Beliau merujuk kepada pencalonan berbeza oleh komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Muktamar Pemuda PAS mencadangkan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tambah beliau, nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut disebut sebagai calon alternatif.

“Walaupun Tuan Ibrahim menolak cadangan tersebut tetapi situasi muktamar dan respon pimpinan PAS terhadap keputusan Perhimpunan Tahunan Parti Bersatu sepakat mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM Malaysia ke-11,” katanya.

Mahfuz menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti jelas bahawa PN sedang bergelut dengan perebutan kuasa, bukan menyusun pelan penyelesaian isu rakyat.

“Ini jelas memperlihatkan PN sedang bergelumang dengan perebutan kuasa dan kedudukan, bukannya menyusun agenda penyelesaian masalah rakyat.

“Pertikaian mengenai siapa calon Perdana Menteri hanya mengesahkan bahawa kepentingan rakyat bukanlah keutamaan utama mereka,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menyeru rakyat agar lebih bijak menilai polemik politik yang berlaku dan menuntut agar fokus kepimpinan negara kembali kepada isu-isu mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan.

“Politik yang berasaskan perebutan jawatan tidak akan membawa Malaysia ke hadapan,” ujarnya.

Mahfuz turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat masih bersama Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya telah membuktikan komitmen membela rakyat dan membangunkan negara.

Kenyataan Mahfuz hadir susulan tindakan Bersatu mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11, sekali gus mencetuskan persoalan tentang kesepaduan dan hala tuju sebenar gabungan PN.

Anda Mungkin Berminat