DOHA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Doha malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang menghimpunkan pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sidang kemuncak yang berlangsung pada Isnin itu diadakan atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap Palestin.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada pukul 9.30 malam waktu tempatan (2.30 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan beliau disambut dengan kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri dan disambut secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar, Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani.
Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta beberapa pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.
Terdahulu, pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 7 malam waktu Malaysia.
Dalam sidang kemuncak tersebut, Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap konflik yang sedang berlaku.
Beliau dijangka menyuarakan kebimbangan Malaysia bahawa keamanan serantau dan global akan terus terancam sekiranya Israel berterusan mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip kedaulatan negara.
Penyertaan Malaysia dalam sidang ini dilihat sebagai manifestasi solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sokongan terhadap usaha Qatar dalam memperkukuh suara kolektif negara-negara Islam.