Kenduri Kahwin Luar Biasa: Tetamu Pulang Bawa Anak Ayam, Menang Lembu Dan Motosikal

SELAMA: Kampung Sungai Malau Luar bergema dengan sorakan dan gelak tawa pada Ahad apabila majlis perkahwinan pasangan Nikman dan Anis berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keunikan yang jarang disaksikan.

Bukan sekadar kenduri biasa, tetamu yang hadir dijamu dengan 18 jenis lauk utama, 10 ‘side dish’ (hidangan sampingan) dan 10 jenis minuman, semuanya hasil gabungan gotong-royong penduduk kampung dan vendor makanan tempatan.

Suasana kenduri berubah menjadi pesta komuniti yang menyatukan generasi muda dan tua dalam semangat kekeluargaan.

Namun, yang paling mencuri perhatian ialah ‘door gift’ (cenderatamu) luar biasa, di mana tetamu pulang dengan anak ayam berwarna-warni, anak itik dan arnab sehingga menjadikan kenangan kenduri ini bukan sekadar gambar dalam telefon tetapi kehidupan baru yang dibawa pulang.

Lebih mengujakan, setiap tetamu diberikan nombor untuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah besar seperti lima ekor lembu, 10 ekor kambing, dua buah motosikal, kerusi urut dan hamper.

Suasana menjadi riuh rendah apabila nombor diumumkan satu demi satu dengan jeritan gembira dan air mata terharu menyambut rezeki yang tidak disangka.

Majlis itu bukan sahaja meraikan cinta dua insan tetapi juga menjadi simbol kekuatan komuniti luar bandar dalam mencipta momen yang penuh makna dan kebahagiaan.

Ia membuktikan bahawa apabila tradisi bertemu kreativiti, kenduri kahwin boleh menjadi pengalaman yang benar-benar luar biasa.

Anda Mungkin Berminat