DOHA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan keras agar misi flotila yang sedang belayar menuju Gaza tidak dihalang, sebaliknya dilindungi sehingga selamat sampai ke destinasinya.
Beliau menegaskan flotila tersebut membawa bantuan kemanusiaan, bukannya senjata dan harus dilihat sebagai ‘misi kemanusiaan, bukan peperangan’.
“Misi kemanusiaan ini mesti dilindungi dan dibenarkan sampai ke destinasinya.
“Jika ia dihalang dengan keganasan, maka kita telah mengkhianati suara hati kita bersama,” kata Anwar ketika berucap di Sidang Kemuncak Kecemasan Arab-Islam di Doha.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengaitkan flotila tersebut dengan tanggungjawab moral negara-negara Islam untuk bukan sahaja mengutuk tetapi bertindak menentang kekejaman Israel.
“Kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu, deklarasi tidak akan membebaskan Palestin.
“Kita mesti beralih kepada tindakan tegas,” katanya.
Anwar sebelum itu mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha yang disifatkan sebagai provokasi berbahaya dan sabotaj kepada usaha perdamaian yang diterajui Qatar.
Beliau menggariskan lima tindakan segera yang harus dipertimbangkan oleh negara-negara Arab dan Islam termasuk sekatan ekonomi, penggantungan hubungan diplomatik, serta jaminan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Serangan ke atas Qatar adalah serangan ke atas kita semua.
“Serangan ini mesti dijawab dengan tindakan nyata, bukan lagi kenyataan kosong,” tegas beliau.