Hari Malaysia: Nurul Izzah Titip Kisah Anna Sebagai Inspirasi Negara

PETALING JAYA: Dalam semangat Hari Malaysia, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkongsi kisah menyentuh hati seorang pelajar dari Sabah yang menjadi simbol harapan dan ketabahan generasi muda.

Menurut satu hantaran di Facebook, Anna, seorang gadis dari pekan kecil di Lahad Datu, bukan sahaja memiliki wajah manis dan perilaku solehah tetapi juga semangat luar biasa dalam mengejar pendidikan meskipun berdepan pelbagai dugaan hidup.

“Walaupun berasal daripada keluarga susah di sebuah pekan kecil, Anna tidak pernah berhenti mengejar pendidikan.

“Baginya, hanya ilmu mampu membuka pintu kejayaan,” tulis Nurul Izzah.

Menjelang peperiksaan SPM dua tahun lalu, Anna diuji apabila ayahnya jatuh sakit tenat.

Dalam kesibukan menghadapi peperiksaan penting itu, beliau tetap berulang-alik ke hospital menjaga ayahnya sebelum pulang ke rumah untuk menguruskan ibunya pula.

“Malangnya, ayah Anna menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat menyaksikan impian anaknya menjadi nyata.

“Walaupun kehilangan sosok seorang ayah, Anna tetap berjanji untuk menjaga ibu serta keluarganya sebaik mungkin,” katanya.

Namun, ujian itu tidak mematahkan semangat Anna.

Tahun ini, beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu 4.0 CGPA dalam STPM.

Keputusan itu melayakkan Anna untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan atau kejuruteraan tetapi Anna memilih jalan berbeza.

“Anna memilih untuk menjadi seorang guru dengan harapan dapat mendidik generasi baharu serta melahirkan pemimpin masa depan untuk negeri Sabah,” jelas Nurul Izzah.

Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyalurkan sumbangan peribadi agar impian Anna tidak terhenti.

Anna bukan keseorangan apabila seramai 146 lagi pelajar dari Sabah turut memperoleh semua A dalam STPM, majoritinya daripada keluarga B40.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi agar usaha dapat digerakkan supaya mereka diberi ruang terbaik menyambung pengajian di universiti dan bidang pilihan masing-masing, termasuk pertimbangan biasiswa sekiranya memenuhi syarat kelayakan serta tertakluk kepada dasar dan kuota sedia ada,” katanya.

Nurul Izzah berkata, Hari Malaysia bukan sekadar mengenang lembaran Perjanjian 1963 tetapi menyulam persaudaraan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Dari lautan luas ke tanah berdaulat, kita berpaut pada satu cita, satu harapan iaitu membina sebuah negara,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat