WWF-Malaysia: Pembunuh harimau tidak boleh dimaafkan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia menuntut keadilan penuh dengan tindakan lebih tegas dan usaha berganda terhadap tragedi penemuan bangkai harimau Malaya yang ditembak mati di Johor pada Hari Malaysia baru-baru ini.

Badan bukan kerajaan, World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) memberitahu ia turut mencetuskan kemarahan rakyat, apabila tiga individu telah ditahan berhubung kejadian itu.

Justeru, WWF-Malaysia menyatakan bahwa kesalahan berkenaan berada di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM1 juta.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan dengan tegas agar dunia tahu Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan pembunuhan harimau Malaya yang menjadi simbol negara,” tegasnya dalam kenyataan media pada Selasa.

Tegasnya lagi, insiden tersebut bukan sekadar jenayah hidupan liar, tetapi penghinaan terhadap ikon kebangsaan yang kini diancam kepupusan dengan kurang daripada 150 ekor masih hidup di hutan.

“Ini adalah jenayah terhadap ekosistem dan maruah negara.

“Membunuh seekor daripada bilangan yang begitu sedikit adalah perbuatan kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh dimaafkan,” ujarnya.

WWF-Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PERHILITAN atas tindakan pantas menahan suspek.

Ujarnya, kejayaan penangkapan itu turut menekankan peranan orang awam yang tampil menyalurkan maklumat sehingga siasatan dapat dijalankan segera.

Sehubungan itu katanya, perjuangan melindungi harimau Malaya perlu digandakan dengan sokongan dan penglibatan oleh semua pihak termasuk NGO, agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat.

“Demi memastikan keadilan ditegakkan dan masa depan spesies itu terjamin, katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat