PUTRAJAYA: Sektor pelancongan domestik terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Malaysia merekodkan 73.8 juta pelawat pada suku kedua 2025, meningkat 7.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut laporan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, secara suku tahunan, jumlah pelawat juga meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding suku pertama 2025.
Dalam masa sama, katanya, perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan RM29.2 bilion dengan pertumbuhan sederhana 3.8 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor muncul sebagai negeri paling ramai menerima pelawat domestik pada 2024 dengan 34.5 juta, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (27 juta) dan Perak (21.8 juta).
“Perak turut merekodkan peningkatan ketibaan pelancong tertinggi iaitu 36.1 peratus kepada 10.2 juta berbanding 7.5 juta pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, daripada segi terimaan pelancong, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi pada 2024 iaitu RM14.2 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM14.1 bilion).
“Pahang dan Sabah pula menunjukkan lonjakan ketara dengan masing-masing mencatat RM8.7 bilion dan RM8.6 bilion.
Kata Mohd Uzir, antara aktiviti pelancongan paling popular, membeli-belah kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai RM39.9 bilion, manakala perbelanjaan makanan dan minuman berada di tempat kedua dengan RM17.3 bilion.
Tambahnya, data turut menunjukkan pelawat berumur 25 hingga 39 tahun sebagai penyumbang terbesar kepada pelancongan domestik khususnya daripada isi rumah berpendapatan pertengahan.
“Negeri seperti Sabah pula menerima majoriti pelawat daripada isi rumah berpendapatan lebih rendah, mencerminkan kepelbagaian demografi pelancong tempatan,” katanya.
Untuk rekod, sektor pelancongan domestik kekal kukuh sebagai penyokong utama ekonomi negara.
Malaysia turut mencatat pencapaian antarabangsa apabila menduduki tangga pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, sekali gus memperkukuh peranan data dan statistik dalam membentuk dasar pembangunan mampan.








