KUANTAN: Seorang guru wanita berusia 42 tahun di Maran kerugian RM340,500 selepas diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil insurans, pegawai polis dan pendakwa raya.
Ketua Polis Pahang dalam kenyataan memaklumkan, kejadian bermula pada 27 April lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dia terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
“Mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu serta menukar nombor telefon yang didaftarkan.
“Suspek turut mengarahkan mangsa menyediakan wang ikat jamin kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya.
Mangsa yang panik kemudiannya membuat pinjaman peribadi berjumlah lebih RM280,000 selain menggadaikan barang kemas.
Antara 15 Julai hingga 15 September, mangsa melakukan 13 transaksi pindahan wang ke lapan akaun berbeza melibatkan jumlah RM117,000.
“Hasil semakan penyata bank pada 17 September turut mendapati sebanyak 24 transaksi tidak sah bernilai RM223,500 dilakukan sindiket selepas memperoleh akses ke akaun simpanan mangsa,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan telefon yang meragukan, sebaliknya segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan.
Masyarakat juga diingatkan menyemak nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Baca juga:








