PRIME MCMC Pulih Komunikasi Ketika Banjir Sabah, Teknologi Talian Hayat Rakyat

KUALA LUMPUR: Ketika bencana banjir besar melanda Sabah baru-baru ini, sistem komunikasi konvensional lumpuh di beberapa kawasan terjejas.

Namun, kehadiran Mobile Integrated Radio and Internet Communication System (PRIME) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjadi penyelamat keadaan, memulihkan semula talian komunikasi dan menyambung semula hubungan antara rakyat dan pasukan penyelamat.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tawau, Fung Thin Yein, menyifatkan sistem PRIME sebagai nadi penting dalam pengurusan bencana khususnya di kawasan seperti Penampang dan Kampung Cendrakasih yang mengalami gangguan komunikasi paling teruk.

“PRIME bukan sahaja memudahkan pasukan penyelamat menyelaras misi bantuan dengan pantas tetapi juga memberikan talian hayat kepada penduduk untuk menghubungi keluarga dan mendapatkan maklumat penting ketika rangkaian konvensional gagal berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Keberkesanan PRIME, menurut Fung, mencerminkan komitmen Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menjadikan infrastruktur komunikasi sebagai tonggak utama dalam pengurusan bencana negara.

“Ini bukti kepimpinan yang berpandangan jauh dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata apabila teknologi digunakan secara tepat untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Pengerusi MCMC, Tan Sri Salim Fateh Din, bersama pasukan teknikal yang berjaya melaksanakan misi pemulihan komunikasi dengan penuh profesionalisme dan kecekapan.

“PRIME lebih daripada sekadar sistem. Ia simbol harapan, kesiapsiagaan dan janji bahawa rakyat tidak akan dipinggirkan ketika berdepan kesusahan,” katanya lagi.

Tambahnya, insiden banjir di Sabah menjadi peringatan penting bahawa inovasi berpusat kepada rakyat perlu terus diperkukuh terutama dalam menghadapi cabaran iklim yang semakin tidak menentu dan kompleks.

Anda Mungkin Berminat