PUTRAJAYA: Imbangan dagangan Malaysia kekal positif pada Ogos 2025 dengan lebihan bernilai RM16.1 bilion, sekali gus merekodkan lebihan dagangan berturut-turut selama 64 bulan sejak Mei 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah dagangan menyusut 1.9 peratus kepada RM247.1 bilion berbanding RM251.8 bilion pada bulan sama tahun lalu. Penurunan ini didorong oleh import yang lemah, yang menyusut sebanyak 5.9 peratus kepada RM115.5 bilion.
Sebaliknya, eksport meningkat 1.9 peratus kepada RM131.6 bilion. Kenaikan ini selari dengan lonjakan eksport semula 22.6 peratus bernilai RM28 bilion, meskipun eksport domestik merosot 2.5 peratus kepada RM103.6 bilion.
“Lebihan dagangan melonjak 153.8 peratus kepada RM16.1 bilion, menandakan ketahanan perdagangan negara walaupun persekitaran global mencabar,” kata Mohd Uzir.
Pertumbuhan eksport dipacu oleh penghantaran barangan elektrik dan elektronik yang meningkat sebanyak RM5.1 bilion, jentera dan peralatan meningkat sebanyak RM871.7 juta, minyak sawit dan produk berasaskannya meningkat sebanyak RM650 juta serta barangan optik dan saintifik meningkat sebanyak RM778.7 juta.
Eksport lebih tinggi ke Taiwan, Mexico, China, Vietnam, Kesatuan Eropah, Thailand dan India turut menyumbang kepada prestasi positif. Namun, import menurun akibat pengurangan kemasukan dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, Singapura dan Jepun.
Mengikut penggunaan akhir, import barangan perantaraan yang mewakili lebih separuh jumlah import merosot 16.8 peratus kepada RM60.2 bilion. Sebaliknya, import barangan modal meningkat 11 peratus kepada RM15.7 bilion, menandakan pelaburan industri masih rancak.
Untuk tempoh Januari hingga Ogos 2025, jumlah dagangan Malaysia mencecah RM2 trilion, meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun lalu.
DOSM turut mencatat pencapaian bersejarah apabila Malaysia menduduki tangga pertama global dalam penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 pada 2022/23.
Baca juga:








