Isu Ganjaran Atlet Paralimpik Diselesai – Menteri

PETALING JAYA: Polemik berhubung tuntutan ganjaran oleh atlet para negara, Cheah Liek Hou, kini diselesaikan secara dalaman hasil persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tiada sebarang penggantungan dikenakan terhadap Liek Hou dan pihak MPM akan mengambil langkah lanjut bagi menjernihkan kekeliruan.

“Pihak MPM akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau mengenai kekeliruan penggunaan istilah ‘scam’,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebagai langkah penambahbaikan, Hannah memaklumkan bahawa semua ganjaran atlet selepas ini akan disertakan dengan template bertulis bagi memastikan ketelusan dan kejelasan.

Langkah itu katanya, mencontohi pendekatan program Road To Gold, yang telah menetapkan garis panduan jelas berkenaan bentuk ganjaran dan syarat-syaratnya.

“Kini atlet dapat memberi sepenuh tumpuan kepada latihan dan pertandingan.

“KBS akan terus berdiri bersama mereka dalam perjuangan mengharumkan nama Malaysia,” kata Hannah lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak swasta yang tampil menambah ganjaran MPM kepada lima pemenang pingat Paralimpik Paris 2024, satu sokongan yang memperkukuh semangat solidariti terhadap atlet para negara.

Isu ini mula tercetus apabila Cheah Liek Hou menyuarakan rasa kurang jelas terhadap pengumuman ganjaran MPM.

Beliau merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Paris 2024, menjadikannya antara ikon sukan para yang paling disegani di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat