Harga RON95 Turun RM1.99: Penghargaan Tertinggi Buat Seluruh Rakyat Malaysia

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, bermula 30 September ini, sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus gigih menyumbang kepada kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilihat sebagai satu bentuk solidariti ekonomi di saat dunia berdepan ketidaktentuan global.

“Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, penggunaan MyKad di kaunter dan pam serta aplikasi stesen minyak, akan menjadi kunci untuk menikmati harga baharu itu.

Lebih menarik katanya, anggota polis dan tentera akan menerima manfaat ini lebih awal, iaitu pada 27 September, diikuti oleh penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September.

Beliau turut menyifatkan keputusan itu sebagai satu penghormatan kepada semangat rakyat.

“Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan MADANI dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat