SPRM Tumpas Sindiket Seleweng Subsidi Diesel RM247 Juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan subsidi diesel yang dianggarkan bernilai RM247 juta menerusi Ops Karen, hasil kerjasama Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah kerugian itu dijangka terus meningkat apabila siasatan lanjut dijalankan.

“Wang subsidi ini sepatutnya untuk rakyat tetapi telah disalahgunakan.

“Sindiket ini dikesan beroperasi hampir 10 tahun, melibatkan pengarah syarikat, termasuk bergelar ‘Datuk’ serta kumpulan jenayah terancang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, pada Isnin.

Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan berasaskan analisis kewangan masa nyata dan maklumat awam yang membawa kepada pengesanan transaksi mencurigakan serta rangkaian pergerakan diesel melalui saluran haram termasuk di kawasan Bintulu.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan syarikat berdaftar untuk menguasai rantaian bekalan diesel dengan bantuan kumpulan kongsi gelap bagi mengelak penguatkuasaan.

Azam turut mengesahkan bahawa dua individu bergelar ‘Datuk’ antara yang terbabit selain sebuah syarikat utama bukan anak syarikat yang didakwa memonopoli sebahagian pasaran.

Beliau berkata, lebih banyak tindakan akan menyusul termasuk rampasan aset, sekatan dan siasatan lanjut.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) turut digerakkan bagi memastikan integriti sistem subsidi minyak terus terpelihara.

“Kita akan pulihkan aset dan wang sebanyak mungkin untuk dikembalikan kepada kerajaan kerana subsidi ini adalah hak rakyat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat