Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan program subsidi petrol bersasar BUDI95 disambut dengan rasa syukur dan lega oleh rakyat yang melihat langkah itu sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Madani terhadap kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Program yang menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September ini dianggap sebagai satu kelegaan besar.
Ramai pengguna media sosial menyuarakan sokongan dan penghargaan terhadap keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai hasil nyata daripada dasar ekonomi yang berpaksikan rakyat.
“Terbaik Perdana Menteri. Terima kasih kerana banyak membantu rakyat dengan mengembalikan keselesaan.
“Alhamdulillah, rakyat mendapat hasil dari kejayaan menjana ekonomi yang baik untuk negara,” kata Mohd Rashidi Hassan di ruangan komen Facebook Anwar.
Bagi Adryna Kikwang, pengumuman itu dianggap sebagai rezeki buat rakyat yang selama ini menanggung beban harga bahan api.
“Alhamdulillah, terbaik DSAI. Semoga dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki,” tulisnya di media sosial.
Seorang lagi pengguna, Zubaidah Ali, meluahkan rasa syukur apabila kebimbangan terhadap kos minyak kini berkurangan.
“Dulu saya selalu risau tentang harga petrol. Kini, PMX menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang bekerja keras,” katanya.
Pandangan sama dikongsi oleh Mamat Ed yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Madani atas usaha menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Program BUDI95 bukan sahaja menetapkan harga petrol lebih rendah malah diperkenalkan dengan sistem kawalan subsidi bersasar menggunakan MyKad sebagai pengesahan identiti bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan.
Pengumuman itu dibuat oleh Anwar pada Isnin sebagai usaha menyeimbangkan keperluan rakyat dengan pengurusan fiskal negara secara mampan selaras dengan semangat Madani yang menekankan keadilan, keberkesanan dan kepercayaan.








