Sultan Perak Berkenan Rasmi SK Seri Serdang

LUMUT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Serdang di Mukim Sitiawan, menandakan permulaan baharu bagi sebuah institusi yang telah menempuh perjalanan panjang sejak 1934.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain.

Majlis penuh istiadat itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta barisan kepimpinan negeri dan persekutuan.

Dalam ucapannya, Fadhlina mengimbau sejarah penubuhan sekolah yang bermula sebagai Simpang Empat English School di atas tanah milik Dinding Indians Association (DIA), sebelum beralih sepenuhnya kepada sekolah rendah pada tahun 1974.

Kini katanya, SK Seri Serdang berdiri megah di atas tanah seluas 2.8 hektar, hasil pembinaan bernilai RM19 juta.

Beliau berkata, sekolah itu menjadi tempat menimba ilmu bagi 611 murid, dibimbing oleh 42 guru dan lima kakitangan sokongan.

Tambanya, bangunan baharu dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti Makmal Komputer, Bilik Sains, Perpustakaan, Bilik Muzik, Surau dan padang serbaguna.

“Kemudahan ini melengkapkan proses pembelajaran murid dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin atas sokongan berterusan baginda terhadap pembangunan pendidikan di negeri itu.

“Sokongan Tuanku meningkatkan semangat warga pendidik dan mengukuhkan komitmen Kementerian Pendidikan memartabatkan pendidikan negara,” ujarnya.

Selain pencapaian akademik, SK Seri Serdang turut menyerlah dalam bidang kokurikulum dengan kejayaan dalam sofbol, bola tampar, memanah, kriket dan olahraga di peringkat negeri dan kebangsaan.

Sekolah itu pernah menumpang di tapak SMK Ahmad Boestamam dari 2013 hingga 2023 sebelum berpindah ke bangunan baharu yang lebih selesa dan lengkap.

Anda Mungkin Berminat