KUALA LUMPUR: Tindakan PAS untuk mengadakan demonstrasi pada 4 Oktober ini disifatkan sebagai gimik politik semata-mata, susulan beberapa siri perhimpunan terdahulu yang gagal mencapai objektif, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, demonstrasi berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) URA itu dilihat sebagai usaha PAS mencari isu baharu selepas perhimpunan ‘Turun Anwar’ tidak mendapat sambutan.
“Demo ‘Turun Anwar’ gagal kerana pada masa sama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (PAT) Bersatu pula mendesak ‘Turun Muhyiddin’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Puad berkata, PAS seharusnya menghentikan penggunaan demonstrasi sebagai strategi politik dan sebaliknya menumpukan kepada usaha memperlihatkan kesediaan parti itu untuk mentadbir.
“Lebih baik PAS adakan dialog mengenai isu Kampung Sungai Baru kerana ia ada kaitan dengan RUU URA,” katanya.
Beliau turut membandingkan pendekatan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menganjurkan forum sebagai cadangan balas terhadap RUU URA, yang menurutnya lebih berkesan daripada demonstrasi jalanan.
“Itulah cara BN, ia lebih berkesan daripada hanya berhimpun di jalan raya,” katanya.








