Gemini AI Google cetus kebimbangan impak alam sekitar

Oleh: Aliyaa Azmi

DI sebalik keterujaan orang ramai menghasilkan imej menggunakan kecerdasan buatan (AI), wujud kebimbangan terhadap impak alam sekitar yang dibawa teknologi berkenaan.

Seorang pengguna aplikasi Thread berkongsi bahawa proses menjana imej AI bukanlah percuma seperti disangka, sebaliknya memerlukan penggunaan komputer berkuasa tinggi dan penyelenggaraan pusat data berskala besar.

“Walaupun nampak mudah hanya masukkan ‘prompt’, sebenarnya ada kesan kepada alam sekitar, terutama pembaziran air,” tulisnya sambil menasihatkan agar orang ramai mengehadkan penggunaan AI untuk hiburan atau eksperimen.

Laporan antarabangsa sebelum ini turut mendedahkan, syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Microsoft menggunakan berbilion gelen air setiap tahun untuk mengendalikan pusat data mereka.

Google baru-baru ini mendedahkan data rasmi bagi Gemini AI, dengan setiap ‘prompt’ menggunakan kira-kira 0.24 watt-jam tenaga, menghasilkan 0.03 gram karbon dioksida (CO₂e) dan memerlukan 0.26 mililiter air.

Walaupun jumlah itu kelihatan kecil, penggunaan secara global yang mencecah berbilion interaksi setiap hari membawa kepada jumlah yang sangat besar.

Menurut Google, pihaknya meningkatkan kecekapan sehingga 33 kali lebih baik dari segi penggunaan tenaga dan 44 kali lebih rendah pelepasan karbon sejak setahun lalu.

“Kami komited untuk menjadikan teknologi AI lebih mampan, dan usaha berterusan dijalankan bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar,” kata Google dalam satu kenyataan.

Namun, ada yang berpendapat peningkatan permintaan pengguna boleh menenggelamkan kesan penjimatan itu.

“Kecekapan mungkin meningkat, tetapi bila penggunaan AI melonjak, jumlah keseluruhan tenaga dan air yang digunakan tetap bertambah,” tulis seorang pengguna di ruangan komen.

Sejak 2019, pelepasan karbon Google meningkat sebanyak 51 peratus, sebahagian besarnya akibat pertumbuhan operasi berkaitan AI dan pusat data, sekali gus menimbulkan cabaran terhadap komitmen syarikat itu mencapai sasaran hijau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat