Malaysia, Timor-Leste Sepakat Perkukuh Kerjasama Pelbagai Sektor

DILI: Malaysia dan Timor-Leste mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan serta keselamatan, seiring dengan persiapan Dili untuk menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke negara itu melakar detik penting dalam hubungan dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 2002.

“Lawatan ini membawa makna besar dalam memperkukuh persahabatan dan kerjasama strategik antara Timor-Leste dan Malaysia. Ia juga menjadi bukti sokongan Malaysia terhadap usaha kami menyertai ASEAN,” katanya pada sidang media bersama di Dili, Timor Leste.

Anwar dalam ucapannya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus membantu Timor-Leste dalam pelbagai bidang pembangunan, selari dengan matlamat komuniti serantau yang lebih kukuh.

“Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Kami percaya kerjasama erat ini akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peluang pelaburan baharu, khususnya dalam sektor pelancongan dan keselamatan serantau, memandangkan kedudukan strategik Timor-Leste di rantau Asia Tenggara.

Malaysia sebelum ini menjadi antara negara terawal menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, dengan proses penilaian keanggotaan masih berlangsung sejak 2022.

“Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN akan mengukuhkan lagi kestabilan dan integrasi serantau. Malaysia akan terus memberi sokongan penuh kepada proses ini,” kata Anwar.

Lawatan rasmi Anwar ke Timor-Leste merupakan yang pertama sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri pada November 2022, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat