KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang mencetuskan inisiatif membolehkan produk tenusu tempatan berjaya menembusi pasaran Kemboja.
Beliau berkata langkah itu diambil selepas berlaku ketegangan antara Kemboja dan Thailand yang menyaksikan produk dari negara jiran disekat daripada memasuki pasaran Kemboja.
“Atas inisiatif PMX sebagai Pengerusi ASEAN, Farm Fresh diberi kepercayaan untuk membekalkan susu segar ke Kemboja dengan kadar segera.
“Alhamdulillah, produk kami kini menjadi pilihan rakyat negara itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Azmi, rangkaian pasar raya Aeon menjadi pihak pertama mengeluarkan pesanan kepada Farm Fresh, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada produk tenusu Malaysia menembusi pasaran Kemboja.
“Produk susu pasteurise Farm Fresh, Aus Fresh serta yogurt habis terjual dalam tempoh seminggu. Malah, kafe dan hotel di Kemboja kini mula meminta kami membekalkan secara terus,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas sokongan dalam merealisasikan eksport berkenaan.
“Dulu ada yang kata mustahil Malaysia boleh jadi pengeksport produk tenusu kerana cuaca kita tidak sesuai, tapi bagi kami ia bukan soal cuaca, sebaliknya soal siapa yang berusaha. Alhamdulillah kami berjaya melakukannya,” katanya lagi.
Dengan perkembangan itu, Kemboja menjadi negara ASEAN keempat selepas Singapura, Brunei dan Filipina menerima produk Farm Fresh.
Baca juga: