SUHAKAM: Remaja perempuan bawah 16 tahun tiada kapasiti setuju hubungan seksual

PETALING JAYA: Remaja lelaki berumur 18 tahun yang melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun tetqp boleh didakwa atas kesalahan rogol statutori meskipun wujud keadaan “suka sama suka”.

Menerusi kenyataan media pada Rabu,Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, undang-undang menganggap kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan persetujuan terhadap sebarang bentuk hubungan seksual.

“Oleh itu, undang-undang meletakkan mereka sebagai mangsa.

“Rasionalnya ialah kanak-kanak belum cukup matang dari segi fizikal, mental dan emosi serta mudah terdedah kepada manipulasi atau eksploitasi,” ujarnya.

Menurut SUHAKAM, hanya pihak lelaki yang melakukan perbuatan tersebut akan dikenakan hukuman, sama ada individu dewasa atau remaja bawah 18 tahun.

Namun katanya, bagi pelaku kanak-kanak lelaki, hukuman akan mengambil kira prinsip khas keadilan kanak-kanak.

Perkara itu dilaksanakan mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), di mana mahkamah boleh memberi hukuman kepada pesalah dengan mengeluarkan perintah dimasukkan di sekolah diluluskan seperti Sekolah Tunas Bakti atau Sekolah Henry Gurney, bagi tujuan pemulihan dan memberi peluang kedua kepada pesalah muda.

Pihaknya turut menegaskan bahawa undang-undang rogol statutori bukan bertujuan menghukum mangsa, sebaliknya melindungi mereka daripada trauma berganda serta memastikan hak kanak-kanak terpelihara selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC).

“Melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama.

“Setiap kanak-kanak berhak untuk membesar dengan selamat, sihat dan bebas daripada eksploitasi,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan supaya tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap pengadu atau mangsa sekiranya terbukti perbuatan seks bawah umur dilakukan secara suka sama suka, disifatkan sebagai langkah yang wajar bagi dibincangkan semula di peringkat penggubal undang-undang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat