KLIA dinobat hab penerbangan paling terhubung Asia Pasifik

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiktiraf sebagai lapangan terbang dengan keterhubungan tertinggi di Asia Pasifik dan berada di kedudukan keempat dunia menurut laporan Megahubs 2025 oleh OAG.

Pengiktirafan itu seiring dengan momentum kukuh KLIA sepanjang tahun ini, termasuk ketibaan enam syarikat penerbangan baharu serta pembukaan 11 laluan baharu.

Kapasiti penerbangan jarak jauh turut dipertingkat melalui kekerapan lebih tinggi syarikat penerbangan antarabangsa, manakala kehadiran syarikat penerbangan dari China meningkat lebih dua kali ganda berbanding sebelum pandemik.

Sehingga Ogos 2025, KLIA merekodkan 41 juta penumpang, naik sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya. Dari aspek perkhidmatan, lapangan terbang itu terus menambah baik pengalaman penumpang dengan melancarkan proses pemeriksaan dan mengurangkan masa minimum sambungan penerbangan (MCT).

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata pengiktirafan ini mencerminkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan utama serantau yang menyumbang kepada reputasi global Malaysia.

“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, keutamaan kami adalah memperluas keterhubungan, meningkatkan kapasiti dan memperkasa perjalanan penumpang.

“Kami mahu KLIA bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, tetapi juga hab bertaraf dunia yang memacu pertumbuhan dan menghubungkan Malaysia dengan masa depan penerbangan global,” katanya.

Kedudukan KLIA dalam senarai global OAG membuktikan kejayaan strategi baharu Malaysia Airports yang berasaskan kecemerlangan perkhidmatan, pertumbuhan dan kapasiti, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai salah satu hab penerbangan terkemuka dunia.

OAG ialah penyedia data penerbangan global yang pakar dalam analisis jadual serta laporan keterhubungan lapangan terbang di seluruh dunia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat