PULAU PINANG: Sebuah vesel nelayan asing (VNA) bersama empat kru warga Indonesia ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang di kedudukan 38.1 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Selasa lalu.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan dilakukan selepas Kapal Maritim (KM) Semilang mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang berapung di perairan negara.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk tekong berusia antara 20 hingga 30 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurut beliau, bot berkenaan dipercayai berasal dari Pantai Labu, Medan, Indonesia dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Kesemua kru ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1986 kerana menangkap ikan tanpa permit.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan perairan negara.
“Kami akan terus mempertingkat rondaan bagi melindungi kepentingan nelayan tempatan,” tegasnya.
VNA bersama kru terbabit telah dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.