Anwar Terharu Lihat Legasi Pasar Tani Kekal Kukuh Selepas 40 Tahun

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu apabila menyaksikan sambutan ulang tahun ke-40 Pasar Tani yang dianggap sebagai legasi penting kepada petani dan pengeluar kecil negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Pasar Tani Putrajaya dan Sambutan Yang Ke-40 Tahun Pasar Tani Peringkat Kebangsaan di sini, pagi Jumaat.

“Pasar Tani adalah gagasan yang saya perkenalkan pada tahun 1985 ketika menjadi Menteri Pertanian. Tujuannya memberi ruang kepada petani menjual hasil secara langsung tanpa orang tengah yang menekan harga,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Pasar Tani pertama dibuka pada 31 Januari 1985 di Kompleks Bilik Sejuk FAMA, Tampoi, Johor Bahru. Ketika itu hanya 12 pasar tani diwujudkan dengan 317 peserta, melibatkan jualan tahunan sekitar RM1.4 juta.

Hari ini, inisiatif tersebut berkembang pesat sehingga menjadi platform utama bagi ribuan petani, nelayan dan penternak memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Anwar menyifatkan Pasar Tani sebagai legasi yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan pengeluar, tetapi juga merapatkan jurang harga barangan keperluan kepada rakyat.

“Inisiatif kecil yang dimulakan dahulu kini terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat. Ia simbol maruah petani, nelayan dan penternak yang terus dipertahankan,” katanya lagi.

Pasar Tani yang diuruskan FAMA kini diadakan di seluruh negara dengan puluhan ribu peserta terlibat. Ia kekal sebagai wahana penting membangunkan rantaian bekalan makanan negara dan menghubungkan terus pengeluar dengan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat