PETALING JAYA: Malaysia tampil lantang di pentas dunia apabila Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Israel termasuk penggantungan keahlian negara itu dalam badan antarabangsa tersebut.
Dalam ucapan semasa Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB, Mohamad Hasan menyifatkan tindakan Israel sebagai ‘metastasis kekejaman’, satu istilah perubatan yang merujuk kepada penyebaran sel kanser yang kini merebak ke seluruh Timur Tengah dan mengancam kestabilan global.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Penjajahan moden ini mesti ditamatkan. Dunia perlu bertindak,” katanya memetik laporan media tempatan.
Malaysia turut mengecam serangan Israel di Doha, Qatar yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan negara dan usaha damai serantau.
Mohamad Hasan turut menggesa reformasi menyeluruh terhadap sistem PBB termasuk penghapusan atau pengehadan kuasa veto yang sering menjadi penghalang kepada tindakan terhadap jenayah kemanusiaan.
Beliau mencadangkan agar Perhimpunan Agung PBB diperkasa sebagai suara kolektif dunia dan mekanisme pembiayaan global direka semula agar lebih telus dan adil kepada negara-negara membangun.
Malaysia mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin termasuk melalui Deklarasi New York yang memperkukuh solidariti antarabangsa.
Negara itu menyeru tindakan konkrit terhadap kuasa pendudukan dan menegaskan pentingnya penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.