PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia satu tahun empat bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan barangan lusuh dan beberapa kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu.
Menurut pihak polis, insiden berpunca daripada kegagalan sistem brek lori berkenaan.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, memaklumkan bahawa pemandu lori berusia 42 tahun itu telah direman bagi membantu siasatan.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah, serta empat saman trafik.
“Ujian saringan awal air kencing dan alkohol dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu negatif penggunaan dadah dan tidak berada bawah pengaruh alkohol,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu suspek dari arah Semenyih ke Putrajaya melalui Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) mengalami masalah brek sebaik tiba di lokasi kejadian.
Akibatnya, suspek gagal mengawal kenderaan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menunggu giliran di lorong ke-8 dan ke-9 plaza tol tersebut.
“Kejadian menyebabkan seorang bayi lelaki berusia satu tahun empat bulan meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh lagi mangsa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, Serdang dan KPJ Kajang,” katanya.
Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid dan talian 019-4565502 atau berhubung dengan balai berhampiran,” katanya.








