Netizen Desak Hukuman Lebih Tegas Isu Jual Kandungan Seks

Oleh: Aliyaa Azmi

ISU penjualan kandungan seks di media sosial kembali menjadi perdebatan hangat apabila seorang pengguna X, @na_hadif, menggesa hukuman lebih berat dikenakan terhadap pihak yang terlibat.

Dia merujuk kepada isu yang mencetuskan perhatian ramai baru-baru ini iaitu iindividu dikenali sebagai “Daddy Ash” yang dikaitkan dengan penjualan kandungan seks di Platform X dan juga Telegram.

Menurutnya, pendedahan tentang kelemahan undang-undang rogol seharusnya menjadi pemangkin kepada tindakan lebih menyeluruh termasuk memperketatkan undang-undang berkaitan aktiviti penjualan kandungan lucah.

“Kalau perkara ini berlarutan, tak mustahil kita akan dengar pula usaha menormalisasikan kerja seks. Ini bukan perkara kecil, ia ancaman serius kepada generasi akan datang,” katanya dalam satu hantaran.

Dia turut melahirkan kebimbangan kerana trend penjualan kandungan seks dilihat semakin menular dalam kalangan remaja, malah ada yang masih di bangku sekolah sudah terjebak dengan aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, Na Hadif turut mengkritik sikap segelintir pihak yang lebih gemar menyalahkan sesuatu jantina apabila isu jenayah seksual dibangkitkan, sebaliknya mengabaikan masalah sebenar yang menurutnya sedang “merosakkan masa depan masyarakat.”

“Bukan sekadar perhatian, isu ini perlukan tindakan undang-undang nyata dan reformasi. Antara perkara yang perlu diberi fokus ialah tuduhan rogol palsu, penguatkuasaan berat sebelah dalam undang-undang rogol, serta penjualan kandungan pornografi dan perkhidmatan seks,” tulisnya.

Hantaran itu menerima sokongan ramai warganet yang rata-rata bersetuju agar pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih serius kerana menurut mereka, membiarkan isu ini berlarutan hanya akan menghancurkan generasi muda.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat