PUTRAJAYA: Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian aktivis Reformasi, Shariffudin Budin, atau lebih dikenali sebagai Pak Hunter.
Dalam satu kenyataan, Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat lama perjuangan dan aktivis rakyat yang banyak berbakti serta berkorban dalam menggerakkan arus Reformasi sejak awal kebangkitannya.
“Allahyarham juga adalah antara insan yang tabah menempuh dugaan tatkala ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1998, iaitu saat gelombang Reformasi mula menyemarak,” kata Anwar.
Menurutnya, keteguhan prinsip dan kesetiaan Allahyarham terhadap perjuangan membela rakyat tidak pernah luntur meskipun diuji dengan kezaliman dan tekanan politik ketika itu.
Anwar turut menzahirkan simpati kepada keluarga Allahyarham, selain menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar buat keluarga besar PKR dan seluruh gerakan Reformasi.
“Kami bersedih atas pemergian beliau dan mendoakan segala amal bakti, pengorbanan dan perjuangan beliau dicatat sebagai amal soleh di sisi Allah SWT. Semoga keluarganya tabah dan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya.
Allahyarham Shariffudin Budin dikenali sebagai antara aktivis awal yang terlibat secara langsung dalam menggerakkan gerakan Reformasi pada penghujung 1990-an. Beliau pernah ditahan di bawah ISA dan kekal aktif dalam pelbagai kegiatan sosial dan politik sepanjang hayatnya.
Baca juga:








